KULAPUK JELAGA : SERANGAN DAN CARA MENGATASI

KULAPUK JELAGA : SERANGAN DAN CARA MENGATASI

Pokok anda punya masalah seperti dalam gambar?

Kulapuk jelaga (sooty mold) ataupun kulat hitam adalah sejenis kulat tumbuhan yang tumbuh di dalam kawasan cecair manis (honeydew) yang dihasilkan oleh serangga perosak seperti kutu afid, teritip dan ulat koya (mealybug). Serangga-serangga ini akan menghisap sap tumbuhan (cecair sel daun) melalui permukaan daun, dan merembeskan cecair manis hasil dari proses perkumuhan.
 

Cecair manis yang terkumpul pada permukaan daun akan menjadi substrat kepada spora kulat hitam untuk berkembang biak dan menghasilkan miselium berwarna hitam (bahagian vegetatif kulat, berbentuk seperti jaringan benang-benang halus). Kulapuk jelaga akan kelihatan seperti satu lapisan hitam berdebu yang menempel di bahagian daun, batang muda, dan buah.

cecair manis hasil perkumuhan teritip menyebabkan kulapuk  jelaga membial

Antara spesis kulat yang terlibat adalah aethaloderma, capnodium, cladosporium, euantennaria, scorias, dan trichimerium.

ADAKAH KULAPUK JELAGA MEMBAHAYAKAN POKOK?

Kulapuk jelaga adalah kesan sampingan (secondary issue) akibat dari serangan serangga perosak yang menghisap sap tumbuhan. Kehadirannya tidak fatal kepada pokok, namun ianya boleh menjejaskan pokok secara tidak langsung. Kulapuk jelaga boleh menjejaskan pokok dengan beberapa cara.

1. Lapisan kulapuk jelaga yang tidak terkawal boleh menutupi daun, mengurangkan kebolehan pokok untuk melakukan proses fotosintesis sehingga menyebabkan penghasilan tenaga dan pertumbuhan pokok boleh terganggu.

2. Lapisan kulapuk jelaga yang terlalu banyak dan tebal boleh menghalang cahaya matahari yang akan menyebabkan daun jadi menguning dan pokok jadi terbantut.

 

Walaupun buah yang diselaputi kulapuk jelaga tidak menjejaskan rasanya, namun kulapuk jelaga boleh menurunkan nilai komersial buah. Bagi anda yang mengusahakan kebun buah, hal ini mungkin akan menjadi masalah utama anda. Bagaimana caranya untuk mengatasi masalah kulapuk jelaga?

 
buah durian diserang kulapuk jelaga

BASMI TERLEBIH DAHULU PENYEBAB UTAMA

Kulapuk jelaga merupakan kesan sampingan serangan serangga perosak, oleh itu anda perlu kenalpasti terlebih dahulu serangga perosak yang terlibat. Sebagai contoh, jika pokok anda diserang teritip, anda perlu segera berikan racun serangga berperawis aktif seperti dimethoate, abamectin atau white oil. Bagi pembasmian total (teritip dan kulapuk jelaga), bancuh sekali bersama racun kulat berperawis aktif seperti mancozeb.

Kesimpulannya, jika pokok anda ‘diserang’ kulapuk jelaga, anda perlu basmi kulapuk jelaga dan juga punca sebenar serangan (serangga perosak). Setelah itu, berikan pokok anda bio-stimulan dan bio-perlindungan bagi membantu proses pemulihan pokok.

 
Dr. Rizal Ariffin

Dr. Rizal Ariffin

Soil Fertility & Plant Nutrition Lecturer, UPM Serdang

Pertanian selama dilihat sebagai satu gugusan kepakaran, minat, usaha, dan daya juang marhaen, selama itu kami-kami ini akan terus relevan. Saya ingin sangat membantu pejuang-pejuang marhaen di luar sana untuk merasa majunya pertanian dewasa kini, dan betapa banyaknya kekayaan baru telah dibina dalam usaha pertanian.
INTEGRASI BAJA KIMIA DAN BAJA ORGANIK

INTEGRASI BAJA KIMIA DAN BAJA ORGANIK

Antara isu yang sering diperdebatkan di ruang-ruang media sosial adalah soal keterjaminan makanan (food security), bagaimana persediaan dan usaha kerajaan dalam menangani isu ini. Dari segi aspek pengurusan secara makro dan polisi berkaitan, kami berpendapat itu adalah soal kebijaksanaan pegawai pelaksana dan pembuat dasar, yang pastinya mempunyai pelbagai data serta statistik berkaitan.

Kami pula sebagai pengusaha ladang dan kebun melihat keterjaminan makanan dari sudut pandang pertanian. Untuk mendapatkan hasil tanaman yang tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran, memerlukan penggunaan baja secara intensif dalam jangka masa panjang. Hal ini boleh menyebabkan kerosakan dan mengurangkan kesuburan tanah, seterusnya memaksa pengusaha memberi lebih banyak baja. Kitaran ini akan sentiasa berlaku dan menyebabkan penggunaan baja semakin meningkat secara signifikan. 

Walaupun harga baja makin mahal saban tahun, namun pengusaha tiada pilihan lain. Lebih malang bagi pengusaha yang terpaksa bermain dengan harga kawalan dan harga import tanaman yang jauh lebih murah.

Antara usaha yang dalam kawalan pengusaha adalah dari segi pengurusan baja, yang mana penggunaan baja yang efisien dapat mengurangkan kos baja secara langsung, dan kos perawatan tanah secara tidak langsung. Di sini kami ingin bincangkan tentang pendekatan integrasi antara baja organik dan baja kimia.

 

BAJA ORGANIK

Baja organik adalah bahan semulajadi yang boleh didapati dari lebihan sisa tumbuhan, sisa haiwan, dan kompos, yang bertindak secara langsung sebagai sumber nutrien untuk tanaman, dan secara tidak langsung meningkatkan kesuburan tanah. Mikroorganisma dalam tanah akan menguraikan baja organik menjadi nutrien tersedia yang boleh diambil oleh tanaman.

Kelebihan baja organik dapat memperbaiki struktur tanah, meningkatkan kebolehan tanah menyimpan air, meningkatkan kandungan N tanah, meningkatkan kesediaan nutrien, melepaskan nutrien secara perlahan dan konsisten (slow release), meningkatkan pergerakan nutrien, menstabilkan pH tanah, dan melindungi tanah dari hakisan (hujan dan angin).

Namun, baja organik mempunyai kandungan nutrien yang terhad (secara relatif dengan baja kimia). Jadi, kita perlu menggunakan dengan jumlah yang banyak untuk membekalkan nutrien yang cukup bagi pertumbuhan tanaman. Oleh itu, sukar bagi pengusaha untuk menggunakan sepenuhnya baja organik bagi pertanian secara komersial atau berskala besar.

Selain itu, disebabkan jumlah nutrien baja organik tidak menentu (highly variable), sukar untuk menentukan jumlah penggunaan baja dengan tepat. Menyukarkan pengusaha tanaman untuk menentukan kos dan keberkesanan baja organik secara total.

BAJA KIMIA

Baja kimia dapat membekalkan nutrien dengan segera, bagus untuk pertumbuhan pantas pokok kerana nutrien yang dibekalkan mudah dilarutkan. Oleh itu, kesan penggunaan baja lebih cepat (serta merta), dan mengandungi pelbagai nutrien yang sedia untuk digunakan oleh tumbuhan.

Baja kimia mengandungi jumlah nutrien yang tinggi, dan hanya sedikit (secara relatif) jumlah nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan. Oleh itu, penggunaan berlebihan (over-application) boleh memberikan impak negatif seperti pencemaran air dalam tanah, melarut keluar bersama air, dan merosakkan struktur tanah. Menyebabkan nutrien mudah hilang dan tumbuhan tidak dapat menyerap nutrien dengan efisien.

Akhirnya, pengusaha tanaman terpaksa mengeluarkan kos berlebihan, kerana kurang 50% baja kimia yang ditaburkan, dapat diserap oleh tumbuhan.

INTEGRASI BAJA SINTETIK DAN ORGANIK

Secara ringkas, pergantungan baja organik sepenuhnya menyukarkan pengusaha tanaman membekalkan nutrien kepada tumbuhan. Kebergantungan sepenuhnya baja kimia pula akan merosakkan struktur dan kesuburan tanah untuk jangka masa panjang, walaupun dapat memberikan hasil tanaman yang tinggi. 

Baja organik terlibat dalam memperbaiki kesuburan tanah dan menghasilkan sistem akar yang kuat, manakala baja kimia membekalkan nutrien yang mencukupi untuk tumbuhan. Gabungan penggunaan dua jenis baja ini dapat meningkatkan kadar penyerapan nutrien oleh pokok, seterusnya dapat mengurangkan kos baja (kurang baja yang terbazir ke persekitaran). Untuk jangka masa panjang pula, kesihatan tanah dapat dikekalkan dan pencemaran dalam tanah dapat dikurangkan, seterusnya akan mengurangkan kos rawatan tanah di masa hadapan.

Oleh itu, penggunaan nutrien tanaman yang tepat dan seimbang antara baja organik dan baja kimia adalah antara mekanisme yang relevan bagi mencapai keterjaminan makanan, meningkatkan nutrisi, dan menggalakan pertanian lestari (sustainable agriculture). Penggunaan integrasi baja yang betul dan efisien dapat memastikan pengambilan nutrien maksimum oleh tumbuhan, pada waktu yang sama dapat mengurangkan jumlah nutrien yang hilang ke persekitaran.

Dari perspektif petani, keberkesanan (efficiency) nutrien bermaksud perkadaran nutrien yang dibekalkan (dari pelbagai sumber) kepada nutrien yang dapat diambil oleh tumbuhan. Bagaimana untuk mendapatkan hasil tanaman yang terbaik dengan input nutrien. Bagi tujuan pemantauan, ianya dikira sebagai nisbah input-output, perkadaran nutrien yang dibekalkan, yang akhirnya digunakan dalam penghasilan produk (hasil tanaman). 

Sebagai contoh, kita ambil unsur N sebagai rujukan.

Rajah di atas menunjukkan tren penggunaan input N (sebagai contoh) dengan penghasilan tanaman.

Amalan sistem pertanian telah berkembang dari zon merah (penggunaan input yang sangat intensif, tapi hasil kurang) kepada zon oren. Dan, kini kita sepatutnya telah berada pada zon hijau, di mana hasil tanaman adalah tinggi dan nisbah penggunaan nutrien menghampiri optimum.

KADAR YANG SESUAI

Nisbah NUE yang rendah (<50%) memberi indikasi bahawa banyak nutrien yang hilang ke persekitaran. Manakala, nisbah NUE yang tinggi (>90%) pula memberi indikasi bahawa penggunaan nutrien dalam tanah yang terlalu tinggi (intense). 

Secara matematik, nisbah >90% adalah sangat efisien dan bagus, namun penggunaan nutrien yang terlalu intensif untuk beberapa tahun boleh mengurangkan kesuburan tanah. Oleh itu, kedua-dua keadaan ini tidak mampan. 

PENINGKATAN HASIL TANAMAN

Penggunaan tanah (bagi tujuan pertanian) secara intensif dan berterusan boleh mengurangkan kesuburan tanah. Dalam pelbagai keadaan, kehilangan bahan organik dalam tanah mengurangkan sifat fizikal, biologikal dan fungsi tanah.

Di sinilah kelebihan baja organik, yang memberi kelebihan untuk jangka masa panjang berbanding baja kimia. Walaupun begitu, kekurangan utama baja organik adalah dari aspek ketersediaan nutrien, di sinilah kelebihan baja kimia. Namun, penggunaan baja kimia yang berlebihan pula akan mengurangkan kualiti tanah, oleh itu, penggunaan antara kedua-dua jenis baja ini perlu diseimbangkan bagi mendapatkan hasil yang tinggi, pada kos yang paling rendah.

Kesimpulannya, sistem integrasi baja kimia dan baja organik adalah satu pendekatan alternatif bagi kelestarian pertanian dan pengurusan kesuburan tanah yang lebih murah (cost-effective). Kos baja kimia dapat dikurangkan (penyerapan optimum, kurang kehilangan nutrien), dan kos rawatan pemulihan tanah juga dapat dikurangkan dengan penggunaan baja organik. 

Dr. Rizal Ariffin

Dr. Rizal Ariffin

Soil Fertility & Plant Nutrition Lecturer, UPM Serdang

Pertanian selama dilihat sebagai satu gugusan kepakaran, minat, usaha, dan daya juang marhaen, selama itu kami-kami ini akan terus relevan. Saya ingin sangat membantu pejuang-pejuang marhaen di luar sana untuk merasa majunya pertanian dewasa kini, dan betapa banyaknya kekayaan baru telah dibina dalam usaha pertanian.

7 LANGKAH PENTING PENGURUSAN TANAMAN PASCA BANJIR

7 LANGKAH PENTING PENGURUSAN TANAMAN PASCA BANJIR

Kebun and dilanda banjir? Selamatkan tanaman anda dengan cara yang betul.
 
Tanaman yang sihat dipengaruhi oleh persekitaran yang ideal untuk pertumbuhan. Benda bukan hidup dalam persekitaran seperti air, cahaya matahari, suhu, atmosfera, pH, kelembapan udara, angin, dan ketinggian tanah dari aras laut boleh mempengaruhi perkembangan tumbuhan secara langsung. Unsur-unsur ini dipanggil sebagai faktor abiotik.
 
Musim monsun di Malaysia kebiasaannya akan datang bersama curahan hujan yang tinggi hingga menyebabkan banjir yang berlarutan. Sebagai pengusaha tanaman, perkara ini sangat membimbangkan kerana tekanan faktor abiotik yang berterusan disebabkan banjir boleh menjejaskan dan memusnahkan tanaman secara total dalam kes-kes ekstrim. Namun, apa yang boleh anda lakukan sebagai pengusaha bagi memastikan tanaman anda dapat diselamatkan atau mengurangkan impak kerosakan?
𝗧𝗜𝗡𝗚𝗞𝗔𝗧𝗞𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗨𝗗𝗔𝗥𝗔𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗦𝗔𝗟𝗜𝗥𝗔𝗡 𝗧𝗔𝗡𝗔𝗛 𝗦𝗘𝗞𝗜𝗧𝗔𝗥 𝗧𝗔𝗡𝗔𝗠𝗔𝗡
 
Dari segi tindakbalas kimia, kadar penyerapan O2 oleh tumbuhan dalam keadaan banjir (waterlogged) adalah 10,000 lebih perlahan berbanding tanah yang memiliki pengudaran baik. Ketiadaan O2 yang mencukupi (keadaan anaerob) untuk jangka masa yang lama menyebabkan respirasi akar tersekat. Keadaan berair yang berpanjangan akan menyebabkan kematian akar tanaman. Justeru, tingkatkan pengudaraan dan saliran tanah. Buat saliran untuk mengalirkan air berlebihan di kawasan tanah atau pokok ke tempat lain. Gemburkan sedikit kawasan di bawah kanopi tanaman apabila keadaan cukup kering.
𝗕𝗘𝗥𝗦𝗜𝗛𝗞𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗠𝗨𝗞𝗔𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗨𝗡.
 
Setelah air surut, perhatikan jika ada tinggalan atau pemendapan lumpur di daun-daun tumbuhan. Mendapan lumpur yang melekat di daun akan mengurangkan kadar proses fotosintesis dengan menggangu proses pembukaan dan penutupan (aperture) stomata. Hal ini akan mengurangkan kadar pertukaran Oksigen (O2). Pengurangkan kadar fotosintesis yang ketara akan menghalang translokasi “produk fotosintesis” daripada daun “source” ke akar “sink”. Oleh itu, aktiviti pembersihan permukaan daun dengan melalukan atau menyembur air secara terus kepada tanaman yang dilihat mengandungi mendapan lumpur antara langkah penting untuk meningkatkan kadar fotosintesis dan seterusnya akan meningkatkan kadar translokasi photosyntates (spt sukrosa) ke bahagian akar. Selepas banjir, pertumbuhan akar baru adalah amat penting bagi menggantikan akar-akar yang rosak akibat banjir.
𝗣𝗘𝗠𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗦𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗨𝗡 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗠𝗔𝗧𝗜
 
Perhatikan jika ada tanda-tanda yang tumbuhan telah mati, tapi jangan tergesa-gesa untuk mencantas dahan yang kelihatan mati. Dahan yang telah keguguran daun masih boleh diselamatkan selagimana ianya masih hijau dan kukuh (boleh dilentur). Berikan masa beberapa hari untuk dahan tersebut menghasilkan pucuk baru, anda hanya perlu menyediakan nutrien yang betul untuk tanaman menghasilkan pucuk baru. Cantas hanya dahan yang rosak secara fizikal dan yang sudah pasti mati.
𝗚𝗨𝗡𝗔𝗞𝗔𝗡 𝗕𝗔𝗝𝗔 𝗙𝗢𝗟𝗜𝗔𝗥
 
Akar pokok juga boleh terdedah akibat hakisan tanah akibat banjir. Akar yang terdedah boleh mengering, rosak dan mudah diserang serangga perosak atau patogen.Kambus semula akar yang terdedah dengan tanah. Selain itu, akar pokok akan menjadi rosak apabila terendam dalam air (kurang bekalan O2) untuk jangkamasa yang panjang, menyebabkan proses penyerapan nutrien terjejas. Oleh itu, pokok memerlukan alternatif lain bagi menyerap nutrien semasa pokok membaiki dan menghasilkan akar-akar baru. Gunakan baja foliar kerana tumbuhan boleh menyerap element penting pertumbuhan melalui stomata daun. Pada masa selepas banjir, pengggunaan baja foliar adalah sangat efektif.
𝗣𝗘𝗥𝗜𝗞𝗦𝗔 𝗽𝗛 𝗧𝗔𝗡𝗔𝗛
 
Pada kebiasaannya, tanah di Malaysia adalah tanah berasid. Di sarankan untuk periksa pH tanah terlebih dahulu sebelum melakukan pengapuran (tabur dolomite atau kapur pertanian). Akan tetapi, secara asasnya tanah berasid akan menunjukkan peningkatan pH tanah selepas banjir. Ini disebabkan pengurangan potensi redox (redox potential) tanah disebabkan pertukaran Fe3+ kepada Fe2+ (Ferum). Justeru tiada keperluan pengapuran/dolomite jika pH tanah sedia ada dalam lingkungan 5.5-6.5. Jika tanah masih berasid, teruskan dengan pengapuran.
𝗣𝗘𝗠𝗕𝗔𝗝𝗔𝗔𝗡 𝗧𝗜𝗡𝗚𝗚𝗜 𝗞𝗔𝗡𝗗𝗨𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗡𝗜𝗧𝗥𝗢𝗚𝗘𝗡 (𝗡) 𝗗𝗔𝗡 𝗟𝗔𝗜𝗡-𝗟𝗔𝗜𝗡
 
Kesan utama selepas banjir, adalah kekurangan unsur N dalam tanah (akibat larut lesap dan larian permukaan). Apabila tanah sudah cukup kering, berikan baja tinggi kandungan N. Antara baja yang sesuai dan dilarutkan untuk siraman adalah urea, potassium nitrate dan calcium nitrate. Pemberian baja kompaun NPK 15:15:15 juga boleh digunakan pada kadar yang rendah (30-50% daripada kadar biasa) atau dilarutkan adalah disarankan.
𝗞𝗔𝗪𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗖𝗨𝗡 𝗞𝗨𝗟𝗔𝗧 𝗣𝗘𝗡𝗬𝗔𝗞𝗜𝗧 𝗕𝗔𝗪𝗔𝗔𝗡 𝗧𝗔𝗡𝗔𝗛 (𝗦𝗢𝗜𝗟𝗕𝗢𝗥𝗡𝗘 𝗗𝗜𝗦𝗘𝗔𝗦𝗘𝗦)
 
Banjir juga meningkatkan kadar jangkitan penyakit tanaman. Akar pokok yang terjejas akibat oksigen semasa banjir menyebabkan akar lebih mudah diserang oleh kulat atau patogen bawaan tanah. Dua penyakit kulat yang biasa menyerang pada musim banjir adalah Phytium (reput akar), Phytophthora (reput akar, mati rosot anak benih, bengkak cerana). Siram tanah “soil drenching” dibawah kanopi pokok dengan racun kulat dengan bahan perawis Metalaxyl dan Fosetyl-Aluminium.

pic. source

Kesimpulannya, banjir merupakan bencana alam yang berada luar dari kawalan kita. Apa yang boleh kita lakukan adalah mengurangkan risiko kerosakan tanaman dengan menyelamatkan seberapa banyak tanaman yang kita mampu menggunakan kaedah yang dikongsi atau mana-mana kaedah yang dirasakan sesuai. Sama ada anda mengusahakan tanaman secara komersial ataupun secara sampingan, yang penting adalah, ilmu, pengalaman, dan kesabaran.
Dr. Rizal Ariffin

Dr. Rizal Ariffin

Soil Fertility & Plant Nutrition Lecturer, UPM Serdang

Pertanian selama dilihat sebagai satu gugusan kepakaran, minat, usaha, dan daya juang marhaen, selama itu kami-kami ini akan terus relevan. Saya ingin sangat membantu pejuang-pejuang marhaen di luar sana untuk merasa majunya pertanian dewasa kini, dan betapa banyaknya kekayaan baru telah dibina dalam usaha pertanian.

10 CIRI TANAH BERKUALITI UNTUK KEBUN ANDA

10 CIRI TANAH BERKUALITI UNTUK KEBUN ANDA

Pengurusan tanah yang betul dapat menyelamatkan pengusaha atau bakal pengusaha tanaman dari mengeluarkan kos yang banyak untuk baja dan kos penyelenggaraan yang tidak perlu. Oleh itu, jangan buat kesilapan fatal yang banyak dilakukan oleh pengusaha kebun di luar sana.
 
Faktor utama tanaman yang subur dan hasil yang tinggi adalah keadaaan tanah yang sihat kerana tanah yang berkualiti dapat memberikan keadaan optimum untuk pokok menyerap segala kebaikan nutrien dari baja. Tanah yang sihat juga menyediakan medium terbaik bagi memastikan perkembangan sistem akar yang sihat. Sihat akarnya, sihatlah pokoknya.
 
Adakah tanah kita tanah yang berkualiti? Jom kita semak.
 

𝗧𝗔𝗡𝗔𝗛 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗚𝗘𝗠𝗕𝗨𝗥

Ianya bermaksud susunan partikel tanah (pasir, debu, tanah liat yang membentuk struktur tanah secara semulajadi) yang ideal untuk tanaman. Tanah yang gembur dan mudah dicangkul adalah pilihan yang terbaik. Manakala tanah yang sifatnya padat, keras dan sukar dicangkul sangat tidak sesuai kerana sukar untuk sistem akar menembusinya. Jika tanah anda tidak mempunyai ciri ini, pastikan anda beri perawatan tanah yang betul.

 

𝗞𝗘𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠𝗔𝗡 𝗧𝗔𝗡𝗔𝗛 𝗘𝗙𝗘𝗞𝗧𝗜𝗙 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗠𝗘𝗡𝗖𝗨𝗞𝗨𝗣𝗜.
 
Tanah efektif (unconsolidated material) ini sangat diperlukan sebagai medium semulajadi yang akan memegang atau menyokong sistem akar tumbuhan, sekaligus bertindak membekalkan air dan keperluan nutrien.
 
Jangan terpedaya dengan tanah yang gembur di atas tapi mempunyai jarak tanah efektif yang pendek. Kedalaman tanah efektif yang rendah bermaksud jarak permukaan tanah dengan tanah mampat (consoilidated soil) sangat dekat. Akar pokok sangat sukar menembusi struktur tanah ini. Natijahnya, sistem akar pokok tidak cukup ruang untuk berkembang, menyebabkan pokok terbantut seterusnya akan menyebabkan pokok sangat mudah untuk dipengaruhi oleh perubahan cuaca, samada semasa musim panas atau musim hujan.
 
𝗣𝗢𝗣𝗨𝗟𝗔𝗦𝗜 𝗣𝗔𝗧𝗢𝗚𝗘𝗡 𝗧𝗨𝗠𝗕𝗨𝗛𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗦𝗘𝗥𝗔𝗡𝗚𝗚𝗔 𝗣𝗘𝗥𝗢𝗦𝗔𝗞 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗠𝗜𝗡𝗜𝗠𝗨𝗠.
 
Secara ringkasnya, patogen boleh dikatakan agen yang menyebarkan jangkitan seperti bakteria, virus, protozoa, dan kulat. Dalam sistem penghasilan pertanian, patogen tumbuhan dan serangga perosak boleh menyebabkan penyakit dan kerosakan yang tinggi kepada tanaman secara langsung.
Persekitaran tanah yang sihat, populasi organisma-organisma ini sangat rendah ataupun tidak aktif. Ini boleh terjadi kerana patogen juga bersaing dengan organisma baik lain seperti hyperparasit (parasit yang menyerang parasit lain).
 
 
𝗣𝗘𝗡𝗚𝗔𝗟𝗜𝗥𝗔𝗡 𝗔𝗜𝗥 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗕𝗔𝗚𝗨𝗦.
 
Bagaimana yang dimaksudkan pengaliran air yang bagus? Kita boleh lihat selepas hujan, air hujan pada tanah yang bagus akan cepat surut, tapi pada masa yang sama tanah masih memegang air yang mencukupi untuk diambil oleh tumbuhan.
 
Perkara ini berlaku apabila struktur tanah tidak terlalu mampat (terlalu banyak tanah liat) dan tidak terlalu longgar (terlalu berpasir). Pengurusan tanah yang bagus akan menjadikan strutur tanah seperti tanah loam yang mempunyai peratusan pasir (40%), endapan (40%), dan tanah liat (20%) yang sesuai untuk mengelakkan air bertakung, dan pada waktu sama mengelakkan air mengalir dengan terlalu cepat hingga menyebabkan tumbuhan tidak sempat menyerap air dan nutrien bawaan air.
 
 
𝗞𝗔𝗡𝗗𝗨𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗡𝗨𝗧𝗥𝗜𝗘𝗡 𝗧𝗔𝗡𝗔𝗛 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗢𝗣𝗧𝗜𝗠𝗨𝗠.
 
Bekalan nutrien yang mencukupi sangat penting untuk perkembangan pokok secara menyeluruh di samping mengekalkan kitaran nutrien yang seimbang dalam sistem persekitaran pokok.
 
Tetapi, kandungan nutrien yang berlebihan pula sangat tidak sihat kerana ianya boleh menyebabkan larut resap yang tinggi berlaku sehingga boleh menyebabkan pencemaran air bawah tanah. Seterusnya menyebabkan kehilangan nutrien yang tinggi, kehilangan gas rumah hijau (suhu boleh meningkat dan menjejaskan ekosistem tanah), serta tanah menjadi terlalu bertoksid untuk tumbuhan dan komuniti mikrob.
 
𝗣𝗢𝗣𝗨𝗟𝗔𝗦𝗜 𝗢𝗥𝗚𝗔𝗡𝗜𝗦𝗠𝗔 𝗕𝗔𝗜𝗞 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗧𝗜𝗡𝗚𝗚𝗜
 
Mikroorganism ataupun mikrob adalah organisma (makhluk hidup) yang terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar (bakteria, virus, kulat, protozoa). Aktiviti mikrob baik di dalam tanah memainkan peranan penting kepada fungsi tanah.
Mikrob membantu dalam kitaran nutrien, penguraian bahan organik, mengekalkan struktur tanah, dan pengawal biologi semulajadi kepada serangga perosak. Tanah yang sihat mengandungi banyak populasi dan pelbagai jenis mikroorganisma baik yang menjalankan fungsi-fungsi berkesan di dalam ekosistem tanah bagi mengekalkan keadaan tanah yang optimum untuk tumbesaran pokok atau tanaman.
 
 
𝗧𝗘𝗞𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗥𝗨𝗠𝗣𝗔𝗜 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗥𝗘𝗡𝗗𝗔𝗛
 
Rumpai adalah tumbuhan yang tak dikehendaki oleh petani, kebiasaannya rumpai tumbuh dan membiak dengan agresif secara semulajadi. Rumpai memberi banyak masalah dalam sektor pertanian kerana kebiasaannya rumpai mempunyai daya saing yang tinggi (berbanding tanaman utama) terhadap air, nutrien, cahaya matahari, ruang, dan beberapa faktor tumbesaran lain. Rumpai juga mungkin boleh menjadi host atau pelindung kepada patogen tumbuhan yang boleh menjejaskan penghasilan tanaman utama.
 
Oleh itu, pengurusan rumpai yang berkesan untuk mengawal penyebaran dan pembesaran rumpai adalah perkara yang sangat penting, seterusnya menyelamatkan poket anda untuk jangka masa panjang.
 
 
𝗕𝗘𝗕𝗔𝗦 𝗗𝗔𝗥𝗜 𝗧𝗢𝗞𝗦𝗜𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗕𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗞𝗜𝗠𝗜𝗔 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗕𝗘𝗥𝗕𝗔𝗛𝗔𝗬𝗔 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗧𝗨𝗠𝗕𝗨𝗛𝗔𝗡
 
Tanah yang berkualiti sifar dari bahan-bahan tersebut, ataupun mempunyai banyak unsur yang boleh menyahtoksik (detoxify) dan memegang (bind) bahan-bahan tersbut menyebabkan ianya tak boleh diserap oleh tumbuhan. Bahan organik dan komuniti mikrob yang pelbagai adalah antara unsur-unsur yang dapat membantu, oleh itu pastikan tanah anda mendapat perawatan yang betul supaya mempunyai bahan organik yang tinggi dan boleh menyediakan ekosistem yang menampung pelbagai aktiviti mikroorganisma baik.
 
 
𝗞𝗘𝗧𝗔𝗛𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗧𝗜𝗡𝗚𝗚𝗜 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗞𝗘𝗠𝗘𝗥𝗢𝗦𝗢𝗧𝗔𝗡 𝗙𝗨𝗡𝗚𝗦𝗜 𝗧𝗔𝗡𝗔𝗛
 
Kemerosotan tanah bermaksud kehilangan faktor kesuburan tanaman dari segi kesuburan tanah, biodiversiti (kepelbagaian benda hidup dalam persekitaran), pemadatan struktur tanah, salinitasi (kandungan garam dalam tanah), dan pencemaran kimia.
Kemerosotan tanah boleh berlaku secara semulajadi (hakisan angin, hujan, kemarau) dan hasil tangan manusia seperti penggunaan bahan kimia yang keterlaluan, tiada penggiliran tanaman (intensive cultivation). Oleh itu, pastikan tanah anda mendapat perawatan yang secukupnya di selepas setiap musim penanaman.
 
 
𝗗𝗔𝗬𝗔 𝗧𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗧𝗔𝗡𝗔𝗛 𝗔𝗣𝗔𝗕𝗜𝗟𝗔 𝗕𝗘𝗥𝗟𝗔𝗞𝗨 𝗞𝗘𝗔𝗗𝗔𝗔𝗡 𝗗𝗜 𝗟𝗨𝗔𝗥 𝗝𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔
 
Tidak dinafikan sistem tanaman kawalan bersepadu (CES, controlled environment system) adalah amalan pertanian yang sangat baik dari segi pembajaan, pengawalan serangga perosak, dan pengawalan penyakit tanaman. Namun, CES memerlukan modal permulaan yang besar, oleh itu banyak pengusaha yang memilih untuk sistem tanaman konvensional dengan inovasi terkini.
Sistem konvensional sangat dipengaruhi oleh cuaca seperti taburan hujan tinggi ketika musim hujan dan panas berpanjangan ketika musim kemarau. Tanah yang sihat dapat pulih dengan cepat selepas berlaku sesuatu yang diluar jangka seperti terpaksa menuai dalam keadaan tanah basah, pertukaran sistem giliran tananaman, mendapan tanah, dan sebagainya.

KELESTARIAN TANAH

Tanah yang berkualiti memainkan peranan penting dalam menghasilkan pengeluaran yang optimum untuk jangka masa panjang. Kata kuncinya adalah kelestarian tanah. Oleh itu, perawatan tanah secara berkala adalah perlu bagi mengekalkan kesuburan tanah dan mengelakkan anda dari mengeluarkan kos untuk membaiki tanah di kemudian hari, yang mana pastinya kosnya akan jauh lebih tinggi.

Anda sebagai pengusaha ataupun bakal pengusaha tanaman, pastikan pengurusan tanah adalah perkara yang wajib ada dalam kira-kira dan perancangan anda. Bagi yang ingin hubungi kami untuk sesi konsultasi dan pertanyaan, boleh klik link di bawah.

“Penting untuk anda bermula dengan betul.”

 
Dr. Rizal Ariffin

Dr. Rizal Ariffin

Soil Fertility & Plant Nutrition Lecturer, UPM Serdang

Pertanian selama dilihat sebagai satu gugusan kepakaran, minat, usaha, dan daya juang marhaen, selama itu kami-kami ini akan terus relevan. Saya ingin sangat membantu pejuang-pejuang marhaen di luar sana untuk merasa majunya pertanian dewasa kini, dan betapa banyaknya kekayaan baru telah dibina dalam usaha pertanian.

Dr. Mohd Rizal Ariffin

(Principal Advisor)

As the Founder of Pro Agro Resources (M) Sdn. Bhd, Dr. Mohd Rizal Ariffin currently assumes the roles as Strategic Advisor, Project Lead, and Administrative Director of the company.

Dr. Mohd Rizal Ariffin graduated from the University of Western Australia (MSc) and obtained his doctorate degree from Universiti Putra Malaysia (UPM). He is an accomplished senior lecturer and researcher at UPM with over 10 years of research experience, know-how and expertise in soil science. Through his wide array of fundamental knowledge and experience, he assists our clients in developing a solid roadmap and strategy to maximize the value of their agricultural projects and activities.