Antara isu yang sering diperdebatkan di ruang-ruang media sosial adalah soal keterjaminan makanan (food security), bagaimana persediaan dan usaha kerajaan dalam menangani isu ini. Dari segi aspek pengurusan secara makro dan polisi berkaitan, kami berpendapat itu adalah soal kebijaksanaan pegawai pelaksana dan pembuat dasar, yang pastinya mempunyai pelbagai data serta statistik berkaitan.

Kami pula sebagai pengusaha ladang dan kebun melihat keterjaminan makanan dari sudut pandang pertanian. Untuk mendapatkan hasil tanaman yang tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran, memerlukan penggunaan baja secara intensif dalam jangka masa panjang. Hal ini boleh menyebabkan kerosakan dan mengurangkan kesuburan tanah, seterusnya memaksa pengusaha memberi lebih banyak baja. Kitaran ini akan sentiasa berlaku dan menyebabkan penggunaan baja semakin meningkat secara signifikan. 

Walaupun harga baja makin mahal saban tahun, namun pengusaha tiada pilihan lain. Lebih malang bagi pengusaha yang terpaksa bermain dengan harga kawalan dan harga import tanaman yang jauh lebih murah.

Antara usaha yang dalam kawalan pengusaha adalah dari segi pengurusan baja, yang mana penggunaan baja yang efisien dapat mengurangkan kos baja secara langsung, dan kos perawatan tanah secara tidak langsung. Di sini kami ingin bincangkan tentang pendekatan integrasi antara baja organik dan baja kimia.

 

BAJA ORGANIK

Baja organik adalah bahan semulajadi yang boleh didapati dari lebihan sisa tumbuhan, sisa haiwan, dan kompos, yang bertindak secara langsung sebagai sumber nutrien untuk tanaman, dan secara tidak langsung meningkatkan kesuburan tanah. Mikroorganisma dalam tanah akan menguraikan baja organik menjadi nutrien tersedia yang boleh diambil oleh tanaman.

Kelebihan baja organik dapat memperbaiki struktur tanah, meningkatkan kebolehan tanah menyimpan air, meningkatkan kandungan N tanah, meningkatkan kesediaan nutrien, melepaskan nutrien secara perlahan dan konsisten (slow release), meningkatkan pergerakan nutrien, menstabilkan pH tanah, dan melindungi tanah dari hakisan (hujan dan angin).

Namun, baja organik mempunyai kandungan nutrien yang terhad (secara relatif dengan baja kimia). Jadi, kita perlu menggunakan dengan jumlah yang banyak untuk membekalkan nutrien yang cukup bagi pertumbuhan tanaman. Oleh itu, sukar bagi pengusaha untuk menggunakan sepenuhnya baja organik bagi pertanian secara komersial atau berskala besar.

Selain itu, disebabkan jumlah nutrien baja organik tidak menentu (highly variable), sukar untuk menentukan jumlah penggunaan baja dengan tepat. Menyukarkan pengusaha tanaman untuk menentukan kos dan keberkesanan baja organik secara total.

BAJA KIMIA

Baja kimia dapat membekalkan nutrien dengan segera, bagus untuk pertumbuhan pantas pokok kerana nutrien yang dibekalkan mudah dilarutkan. Oleh itu, kesan penggunaan baja lebih cepat (serta merta), dan mengandungi pelbagai nutrien yang sedia untuk digunakan oleh tumbuhan.

Baja kimia mengandungi jumlah nutrien yang tinggi, dan hanya sedikit (secara relatif) jumlah nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan. Oleh itu, penggunaan berlebihan (over-application) boleh memberikan impak negatif seperti pencemaran air dalam tanah, melarut keluar bersama air, dan merosakkan struktur tanah. Menyebabkan nutrien mudah hilang dan tumbuhan tidak dapat menyerap nutrien dengan efisien.

Akhirnya, pengusaha tanaman terpaksa mengeluarkan kos berlebihan, kerana kurang 50% baja kimia yang ditaburkan, dapat diserap oleh tumbuhan.

INTEGRASI BAJA SINTETIK DAN ORGANIK

Secara ringkas, pergantungan baja organik sepenuhnya menyukarkan pengusaha tanaman membekalkan nutrien kepada tumbuhan. Kebergantungan sepenuhnya baja kimia pula akan merosakkan struktur dan kesuburan tanah untuk jangka masa panjang, walaupun dapat memberikan hasil tanaman yang tinggi. 

Baja organik terlibat dalam memperbaiki kesuburan tanah dan menghasilkan sistem akar yang kuat, manakala baja kimia membekalkan nutrien yang mencukupi untuk tumbuhan. Gabungan penggunaan dua jenis baja ini dapat meningkatkan kadar penyerapan nutrien oleh pokok, seterusnya dapat mengurangkan kos baja (kurang baja yang terbazir ke persekitaran). Untuk jangka masa panjang pula, kesihatan tanah dapat dikekalkan dan pencemaran dalam tanah dapat dikurangkan, seterusnya akan mengurangkan kos rawatan tanah di masa hadapan.

Oleh itu, penggunaan nutrien tanaman yang tepat dan seimbang antara baja organik dan baja kimia adalah antara mekanisme yang relevan bagi mencapai keterjaminan makanan, meningkatkan nutrisi, dan menggalakan pertanian lestari (sustainable agriculture). Penggunaan integrasi baja yang betul dan efisien dapat memastikan pengambilan nutrien maksimum oleh tumbuhan, pada waktu yang sama dapat mengurangkan jumlah nutrien yang hilang ke persekitaran.

Dari perspektif petani, keberkesanan (efficiency) nutrien bermaksud perkadaran nutrien yang dibekalkan (dari pelbagai sumber) kepada nutrien yang dapat diambil oleh tumbuhan. Bagaimana untuk mendapatkan hasil tanaman yang terbaik dengan input nutrien. Bagi tujuan pemantauan, ianya dikira sebagai nisbah input-output, perkadaran nutrien yang dibekalkan, yang akhirnya digunakan dalam penghasilan produk (hasil tanaman). 

Sebagai contoh, kita ambil unsur N sebagai rujukan.

Rajah di atas menunjukkan tren penggunaan input N (sebagai contoh) dengan penghasilan tanaman.

Amalan sistem pertanian telah berkembang dari zon merah (penggunaan input yang sangat intensif, tapi hasil kurang) kepada zon oren. Dan, kini kita sepatutnya telah berada pada zon hijau, di mana hasil tanaman adalah tinggi dan nisbah penggunaan nutrien menghampiri optimum.

KADAR YANG SESUAI

Nisbah NUE yang rendah (<50%) memberi indikasi bahawa banyak nutrien yang hilang ke persekitaran. Manakala, nisbah NUE yang tinggi (>90%) pula memberi indikasi bahawa penggunaan nutrien dalam tanah yang terlalu tinggi (intense). 

Secara matematik, nisbah >90% adalah sangat efisien dan bagus, namun penggunaan nutrien yang terlalu intensif untuk beberapa tahun boleh mengurangkan kesuburan tanah. Oleh itu, kedua-dua keadaan ini tidak mampan. 

PENINGKATAN HASIL TANAMAN

Penggunaan tanah (bagi tujuan pertanian) secara intensif dan berterusan boleh mengurangkan kesuburan tanah. Dalam pelbagai keadaan, kehilangan bahan organik dalam tanah mengurangkan sifat fizikal, biologikal dan fungsi tanah.

Di sinilah kelebihan baja organik, yang memberi kelebihan untuk jangka masa panjang berbanding baja kimia. Walaupun begitu, kekurangan utama baja organik adalah dari aspek ketersediaan nutrien, di sinilah kelebihan baja kimia. Namun, penggunaan baja kimia yang berlebihan pula akan mengurangkan kualiti tanah, oleh itu, penggunaan antara kedua-dua jenis baja ini perlu diseimbangkan bagi mendapatkan hasil yang tinggi, pada kos yang paling rendah.

Kesimpulannya, sistem integrasi baja kimia dan baja organik adalah satu pendekatan alternatif bagi kelestarian pertanian dan pengurusan kesuburan tanah yang lebih murah (cost-effective). Kos baja kimia dapat dikurangkan (penyerapan optimum, kurang kehilangan nutrien), dan kos rawatan pemulihan tanah juga dapat dikurangkan dengan penggunaan baja organik. 

Dr. Rizal Ariffin

Dr. Rizal Ariffin

Soil Fertility & Plant Nutrition Lecturer, UPM Serdang

Pertanian selama dilihat sebagai satu gugusan kepakaran, minat, usaha, dan daya juang marhaen, selama itu kami-kami ini akan terus relevan. Saya ingin sangat membantu pejuang-pejuang marhaen di luar sana untuk merasa majunya pertanian dewasa kini, dan betapa banyaknya kekayaan baru telah dibina dalam usaha pertanian.

Dr. Mohd Rizal Ariffin

(Principal Advisor)

As the Founder of Pro Agro Resources (M) Sdn. Bhd, Dr. Mohd Rizal Ariffin currently assumes the roles as Strategic Advisor, Project Lead, and Administrative Director of the company.

Dr. Mohd Rizal Ariffin graduated from the University of Western Australia (MSc) and obtained his doctorate degree from Universiti Putra Malaysia (UPM). He is an accomplished senior lecturer and researcher at UPM with over 10 years of research experience, know-how and expertise in soil science. Through his wide array of fundamental knowledge and experience, he assists our clients in developing a solid roadmap and strategy to maximize the value of their agricultural projects and activities.